ماري سيڠڬه BLOG ساي

Sunday, December 4, 2011

Motor Jadi Saksi Maksiat

Gambar hanya sekadar hiasan
Dan janganlah kamu menghampiri ZINA, sesungguhnya ZINA itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (membawa kerosakan) [al-Israa' 17:32]

Fenomena naik motor 'bonceng awek kat belakang' dah jadi semacam satu hal biasa bagi segelintir remaja hari ini. Gejala ini tidak terkecuali menular dalam kalangan pelajar IPTA. Meskipun pelajar IPTA dari golongan cerdik pandai tapi apa gunanya kecerdikan yang Allah anugerahkan andai kita jauh dari jalan yang diredhai-Nya.

Cuba kita fikirkan, apa akan jadi sekiranya ditakdirkan Allah ambil nyawa kita pada saat kita sedang berduaan di atas motor dengan pakwe/makwe kita? Bagaimana agaknya status kematian kita? Setiap orang pasti menginginkan anugerah mati dalam iman. Namun, andai hidup kita berakhir dengan kisah cinta yang tragis bersaksikan sebuah motor yang tidak ada nilainya, apa yang akan kita jawab di akhirat kelak atas maksiat yang telah kita lakukan di akhir nafas kita? Ya Allah, adakah Allah redha dengan kematian itu?

Persoalannya, mana pergi sifat malu? Sahabat-sahabatku, malu itu sifat manusia. Manusia itu hidup. Nilai hidup setiap insan itu ada kaitan rapat dengan perasaan malunya. Oleh sebab itu, malu dalam bahasa Arab disebut al-haya' dan daripada perkataan al-haya' itulah terbitnya perkataan al-hayah yang bermaksud hayat kehidupan. Banyak hadis yang berkisarkan kaitan malu dengan iman. Jangan kita lupa juga bahawa ramai para sahabat Rasulullah yang kriteria utama mereka ialah pemalu.

Apabila malu itu hilang bermakna hilanglah kehidupan. Benarlah, jika sifat malu sudah hilang maka manusia sanggup buat apa saja. Kita sudah tidak malu dengan Allah yang Maha Melihat setiap perbuatan kita. Kita sudah tidak malu dengan Sang Pencatit Amalan (malaikat) yang mencatit setiap amalan kita. Kita sudah tidak malu lagi dengan manusia. Mana pergi pegangan agama? Mana pegi maruah diri? Pernah sekali, rakan Solehah yang berbangsa Cina cakap, "Setahu I agama u sangat menitik beratkan batas perhubungan antara laki perempuan, tapi kenapa I tengok sama saja. U all pun ramai yang dating, ada yang naik motor sama-sama bonceng laki perempuan." Solehah speechless dengan kata-kata dia. Solehah cuma bagi satu analogi; diibaratkan sebuah sekolah yang telah disediakan peraturan disiplin yang bertujuan untuk kebaikan pelajar itu sendiri tapi tetap juga ada yang melanggar disiplin. Mustahil setiap sekolah tidak ada pelajar yang bermasalah. Begitu juga dalam hal berkaitan agama. Kenapa? Adakah kerana kurangnya didikan agama? Adakah peraturan yang Allah dah tetapkan ini menyusahkan?

Syurga itu dipagari dengan kesusahan manakala neraka itu dipagari dengan keseronokan (Riwayat Bukhari & Muslim)
Setiap peraturan yang Allah dah tetapkan pasti terkandung 1001 hikmahnya. Tidak Allah takdirkan sesuatu itu dengan sia-sia. Sesungguhnya jalan yang halal itu lebih luas, lantas kenapa kita memilih jalan yang haram? Sahabat-sahabatku yang dikasihi kerana Allah, kembalilah kepada fitrah. Fitrah beragama. Mari kita muhasabah kembali, andai ajal kita Allah takdirkan di Luh Mahfuz dalam usia yang muda, amal apa yang akan kita bawa di Padang Masyar kelak? Jadi, jangan kita sia-siakan usia muda ini dengan menjalani kehidupan yang tidak membantu akhirat kita. Memetik kata-kata seorang tokguru, sesungguhnya Allah sangat kagum dan hairan kepada pemuda pemudi yang tidak berlaku kerosakan akhlak pada dirinya. Mari kita berusaha menjadi seorang remaja Muslim yang taat perintah-Nya. insha-Allah

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...